بسم الله الرحمن الرحيم

Demi masa.... Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian... KECUALI orang-orang yang beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.....

Saturday, April 2, 2011

REMAJA BERAKAL FOKUS BELAJAR


Dalam meniti usia muda terlalu banyak cabaran yang mewarnai kehidupan. Pelbagai tarikan yang mahu menawan jiwa muda ini. Nilai-nilai negative seperti gejala sosial, pengaruh rakan sebaya, hiburan dan cinta sentiasa mencari peluang merebut sekeping hati pewaris agama ini agar berpaling daripada cahaya kebenaran. Adakalanya amanah yang dipikul sebagai mahasiswa sering tewas dengan kehadirannya.

Hanya akal yang waras mampu menjadi benteng dan ilmu yang diamalkan boleh memlihara diri disamping menjadikan Allah sebagai matlamat hidupnya.

Daripada Aisyah r.a: “Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.”

Individu yang menjadikan perintah Allah dan larangannya sebagai panduan menjalani kehidupan harian. Akal yang dikurniakan digunakan sebaik mungkin untuk menghadapi cabaran hidup yang sering datang.

Wahab bin Munabbih berkata: “Syaitan berasa paling sulit jika menghadapi orang mikmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke manapun yang dia kehendaki. Syaitan benar-benar berasa sulit apabila berhadapan dengan orang mukmin yang berakal sehingga syaitan tidak mendapat apa-apa hasil pun.”

Kata-kata ini boleh menjadi pendorong kepada mahasiswa kita pada hari ini untuk terus menuntut ilmu serta mengamalkannya. Namun, jika hanya belajar tanpa menggunakannya amatlah guna dan sis-sia belaka.

Setiap keputusan dan tindak tanduk perlu dibatasi dengan fikiran yang waras dengan menjadikan akal sebagai landasannya.

Yusuf bin Asbath berkata: “Akal ialah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan bertambah baik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan normal kecuali berdasarkan akal.”

Majoriti mahasiswa merupakan golongan remaja. Sekiranya mereka menggunakan akal mereka, pasti zaman muda mereka tidak akan dipersiakan. Digunakan masa muda dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama remaja yang berakal tidak lupa menyeimbangkan diri dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik antara yang terbaik.

ERTI KETENANGAN & KESABARAN

Dalam merentasi dunia kehidupan mahasiswa hari ini, cukupkah nilai kesabaran dalam diri seorang pelajar itu. Apakah yang terjadi sekiranya mereka dibebani dengan timbunan tugasan yang banyak dan kadangkala kelihatan melampau dan membebankan pelajar.
Bagaimana kehidupan seorang pelajar yang jadual kuliahnya bermula jam 8 pagi dan hanya berakhir jam 7 malam. Badan yang letih dan lesu pulang ke rumah mahupun asrama meneruskan rutin pembelajaran mereka. Berusaha menyiapkan kerja rumah yang di berikan para pensyarah untuk dihantar keesokan harinya.
Terdengar pelbagai rungutan daripada rakan sekelas yang mengadu keletihan dan terasa seperti diserang migrin. Apabila pensyarah memberikan tugasan baru, mulalah semua bising meminta untuk tidak diberikan sebarang assignment. Terlalu banyak assignment yang sudah diberikan.
Kadangkala menjadi satu kebiasaan seorang pensyarah memberi tugasan setiap minggu yang muka suratnya sehingga berpuluh-puluh helainya.
Aduhai…..
Namun, bila difikirkan semula tidakkah Islam mengajar umatnya agar bersabar dalam menghadapi ujian dan cabaran.  Setiap ujian itu sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri.

Allah telah berfirman:
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.  Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.  (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.  Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami.  Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.  Beri maaflah kami;  ampunilah kami; dan rahmatillah kami.  Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

(Al-Baqarah 284 -286)


Bijak Hanya Pada Dunia, Akhirat Hilang Entah Ke Mana


Nabi s.a.w pernah bersabda: “Orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan diazab Allah 500 lebih dahulu daripada penyembah berhala.”

Perkongsian kali ini lebih kepada persoalan tentang kepentingan ilmu. Mungkin sedikit lari daripada topic-topik sebelum. Namun, masih tidak lari bercakap soal dunia ilmu dan skop pengetahuan.
Seperti yang diperkatakan bahawa pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menunjukkan peningkatan yang sangat banyak dan pencapaian terbaik dalam tempoh 4 tahun. Walau bagaimanapun, jika difikirkan dang direnung kembali cukupkah segala ilmu yang dipelajari oleh anak-anak ini? Segala ilmu yang dipeoleh di sekolah hanyalah fardu kifayah semata-mata.

Rasulullah s.a.w pernah bersabada yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim.”

Hadis yang dinyatakan lebih 1400 tahun lampau ini menyeru umat Islam untuk menuntut ilmu. Tapi ilmu apakah yang dimaksudkan hadis ini?

Ilmu fardu kifayah seperti Matematik, Sejarah, atau Bahasa Inggeris atau fardu ain seperti rukun solat dan syarat sah puasa?

Fardu ain sebenarnya. Ilmu yang akan mendokong setiap umat Islam itu untuk terus beramal dan beriman kepada Allah. Ilmu yang akan menjadi baja yang member makanan kepada jiwa setiap muslim. Bukan ilmu fardu kifayah yang ditekankan kini.

Ibubapa kini amat menitik beratkan soal peperiksaan dan keputusan cemerlang dalam ujian. Tapi leka dan lalai dalam mengadun roh anak-anak mereka dengan ilmu fardu ain yang akan menjadi benteng iman apabila mereka dewasa kelak.

Saya bukan ingin memandang enteng dengan kepentingan ilmu dan pengetahuan seperti Sains, Matematik dan sebagainya tetapi hanya berkongsi rasa dan kebimbangan mengenai situasi masyarakat kita hari ini.

Adakah kita mahu anak-anak ini cerdik hanya pada ilmu dunia sahaja tetapi akan rebah di akhirat kelak. Bahawasanya ibubapa bertanggungjawab mencorak kehidupan mereka dengan nilai Islam yang kukuh dan tidak alpa dengan tuntutan dunia kini.

Segala perubahan bermula dengan satu langkah.

Tuesday, March 22, 2011

NILAI SYUKUR DAN KEBERKATAN



K
adang kala ingin menulis seperenggan sangatlah payah. Bukan kerana masalah laptop atau papan  kekunci yang rosak tetapi mencari idea yang cukup mahal harganya. Adakalanya idea datang mencurah-curah sehingga tiada ruang untuk menulis lagi. Tapi apabila sedikit nikmat ditarik oleh yang kuasa, segalanya kelihatan amat rumit sekali. Walau satu ayat.
Sudah lama ruangan blog ini tidak diisi dengan sebarang coretan, bukan kerana malas namun idea yang tidak tercapai. Bukan tidak berfikir atau mencari sumber namun ketentuan Allah yang menentukannya. Cerita kali ini mungkin agak lari dengan tema asal blog ini yang mengungkap suka duka mahasiswa kita. Tapi kali ini perkongsian tentang rasa syukur dan nilai keberkatan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pernahkah kita mengangkat tangan memohon keberkatan dan melahirkan rasa syukur di atas setiap nikmat yang diberikan kepada kita? Kita sebenarnya sering kali leka dengan kesibukan tugasan harian. Sebagai mahasiswa, jadual rutin yang padat ditempuh setiap hari adakalanya membawa kepada kelekaan. Bilakah waktu menunaikan solat? Sebaik sahaja azan berkumandang atau selepas sejam masuknya waktu solat. Atau solat zohor yang ditunaikan pada pukul 4 petang? Kita sebenarnya boleh memikirkannya sendiri. Namun, adakah kita berfikir atau membiarkannya berlalu.
Kita sering mendambakan kejayaan dalam setiap amalan kita. Setiap mahasiswa ingin memperoleh ijazah kelas pertama dalam majlis graduasi mereka. Mendapat A dalam semua subjek yang diambil. Dan ingin menjadi pelajar contoh di kampus. Walau bagaimanapun, apakah yang dilakukan untuk mendaptkannya. Adakah sekadar belajar bersungguh-sungguh menelaah pelajaran. Menyempurnakan tugasan dengan penuh teliti dan sempurna. Bagaiman pula dengan doa dan harapan kepada yang maha esa. Tuhan sekalian alam yang memberikan segalanya kepada hambanya.
Terasa amat kerdil apabila memikirkannya. Penuh dengan kekurangan dan kesilapan. Kesibukan tugas harian menyebabkan kita lalai dan alpa dalam melaksanakan tanggungjawab kepada pemilik jasad dan roh ini. Wahai sahabat marilah kita kembali berpesan-pesan dan mencari nilai keberkatan sebenar dengan bersyukur kepada Allah disamping melaksanakan amanah sebagai khalifah di bumi ini.

Tuesday, March 8, 2011

MaHaSiSWa PeMiMPiN aLaF BaRu

Mahasiswa istilah yang sinonim dalam kalangan warga kampus terutamanya. Golongan yang diharap menjadi tonggak kepimpinan negara kelak. Namun, persoalannya kini bersediakah mahasiswa kita untuk menggalas tugas dan amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab?
Bukan mudah untuk menjawab soalan sedemikian. Hal ini memerlukan penelitian yang kritikal, sama ada dari sudut ilmu pengetahuan, akhlak dan moral, nilai kepimpinan serta kematangan fikiran. Walaupun kita tidak boleh menyangkal bahawa kini, golongan mahasiswa sebenarnya berada dalam proses transformasi fikiran dan idea seiring dengan perubahan zaman, tetapi berapa ramai yang benar-benar bersedia serta peka dengan beban yang akan mereka pikul apabila keluar berdepan dengan masyarakat kelak? Sejauh manakah minda mereka mampu memanipulasi setiap setiap permasalahan yang timbul? Dan adakah mereka cukup tegar menangkis segala kebejatan nilai moral masyarakat yang melanda kini? Bahawasanya terlalu banyak persoalan yang perlu difikir-fikirkan serta direnung-renungkan.
Sesungguhnya jawapannya hanya 1 :

KEMBALILAH KEPADA AGAMA – ISLAM  JAWAPAN KEPADA SEGALANYA

Majoriti universiti Malaysia baru sahaja selesai melaksanakan pilihan raya kampus (PRK) masing-masing. Pelbagai cerita dan insiden yang mewarnai suasana PRK kali ini daripada kehilangan calon bertanding, penerimaan surat layang, hingga ugutan agar menarik diri. Namun terdapat juga IPT yang memiliki ramai calon yang menang tanpa bertanding serta para pelajar yang enggan turun mengundi.
Keadaan beginikah yang sebenarnya perlu dihadapi untuk belajar menjadi seorang pemimpin? Ataupun kita sendiri telah menjadikannya sebagai budaya kampus di Malaysia setiap kali PRK. 

TEPUK DADA TANYA MINDA

Wednesday, March 2, 2011

(^ 0^) SuKaReLaWan & MaHaSiSwA ........


Sukarelawan dan mahasiswa adalah satu gandingan yang dilihat sebagai sangat ideal. Mahasiswa yang terdiri daripada golongan muda terutamanya ditagih kudrat mereka untuk membantu kolompok masyarakat yang memerlukan tanpa meminta sebarang imbuhan.
Aktiviti kesukarelawanan ini dilihat mampu melatih golongan muda untuk berinteraksi dengan komuniti luar kampus bagi persediaan berhadapan dengan alam pekerjaan selepas bergraduasi kelak. Kemampuan mereka berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling membantu dalam proses pembentukan sahsiah dan jati diri yang mantap untuk meneraju kepimpinan negara pada masa akan datang. Nilai kepimpinan itu sendiri tidak hanya boleh dipupuk melalui penyertaan program di dalam kampus sahaja. Namun, aktiviti luar kampus terutamanya aktiviti kemasyarakatan mampu memberi kesan lebih mendalam dalam diri mahasiswa itu sendiri. Kemampuan berhadapan dengan anggota masyarakat yang lebih kompleks akan menjana keyakinan diri yang lebih tinggi yang merupakan proses pembelajaran secara tidak langsung.
HORMAT-MENGHORMATI
Dalam masa yang sama, khidmat komuniti dalam kalangan pelajar IPT dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang dengan masyarakat umum secara tidak langsung. Keadaan ini akan mencipta suasana harmoni antara masyarakat. Sikap saling bantu-membantu turut terbit dalam jiwa muda generasi kepimpinan masa depan.
KASIH SAYANG
Selain itu, aktiviti khidmat komuniti yang melibatkan golongan mahasiswa itu sendiri dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pendidikan dan nilai sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu, lebih-lebih lagi masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman. Dengan pertambahan IPT yang banyak seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, membolehkan masyarakat pedalaman ini mengenali mengenai kewujudan IPT baru disamping yang telah lama wujud di Malaysia. Hal ini mampu mejadi sumber informasi kepada mereka tentang kepelbagaian dan keunikan yang wujud di sesebuah universiti.

Usah Tersungkur Di Pintu Menara

 

IPT merupakan gedung ilmu yang menjadi dambaan pencinta ilmunya. Seribu satu khazanah di dalamnya perlu diterokai bagi setiap warga kampus di dalamnya. Namun, dunia IPT pada zaman kini bukanlah medan permainan atau sekadar tempat mencari ilmu yang biasa. Hal ini disebabkan setiap orang yang melangkah ke dalamnya perlu berhadapan dengan liku-liku yang mendatang terutamanya generasi muda kita.
Kini, segalanya diukur melalui pencapaian akademik dan peperiksaan. Saban tahun pencapaian setiap sekolah akan dikira berdasarkan keputusan peperiksaan para pelajarnya. Namun, adalah anak-anak ini telah dijamin dengan kekuatan spiritual dan mental yang cukup sebelum melangkah ke alam IPT?  Jawapan subjektif saja yang mampu diberikan oleh sesiapa sahaja.
Keputusan cemerlang di dalam SPM, STPM, ataupun STAM tidak menjamin semua pelajar ini akan berjaya dengan erti kata sebenar apabila berada di IPT. Segalanya bergantung kepada kekuatan dan kemampuan diri mereka untuk menghadapi realiti dunia IPT yang sebenar.  Jati diri yang kukuh lagi kental menuntut kesabaran yang tinggi untuk gemilang di IPT sama ada keluar sebagai graduan cemerlang dan bersahsiah tinggi atau sebaliknya.
“Ilmu itu adalah cahaya dan maksiat pula adalah kegelapan. Cahaya dan kegelapan tidak mungkin dapat bersatu.”
Isu berkaitan dadah, hubungan seks luar nikah, vandalisme dan pelbagai lagi isu lain yang tidak pernah lari daripada kehidupan warga IPT. Adakalanya ia kedengaran seperti lumrah dan budaya yang kadangkala tidak boleh dipisahkan lagi. Walau bagaimanapun segalanya terletak pada diri individu itu sendiri untuk memilih yang terbaik. Dalam masa yang sama, ia menguji sejauh mana setiap ilmu yang diceduk ketika alam persekolahan diaplikasikan dalam kehidupan sebenar atau sekadar melintas di kepala sahaja tanpa melekat di hati untuk menjadi benteng mendepani kehidupan mendatang.
IMAN  +  ILMU  = SEJAHTERA